Vaksin Malaysia tiga tahun lagi

SEREMBAN 25 Sept. – Malaysia dijangka mengeluarkan vaksin Covid-19 pertama seawal tiga tahun lagi, kata Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr Adham Baba.

Katanya, usaha itu sudah bermula dan MOSTI menggunakan teknologi ‘messenger ribonucleic acid’ (mRNA) yang dibangunkan dengan kerjasama tenaga pakar dalam dan luar negara.

Selain membangunkan vaksin sendiri, MOSTI juga berkeupayaan untuk membangunkan Pusat Vaksin Kebangsaan (NVC).

“Kini usaha mengumpulkan data masih dilakukan dan pengeluaran vaksin menjadi keutamaan kita selepas tidak pernah menjangkakan wabak Covid-19 begitu pantas merebak sehingga menjadi pandemik,” katanya.

Beliau berkata, untuk mengeluarkan sesuatu vaksin memerlukan masa dan kita menggunakan pelbagai kaedah terkini bagi membangunkan vaksin Covid-19 ini.

“Ketika ini saintis kita sedang bekerja keras di Institut Kajian Perubatan (IMR) dan ia masih di peringkat pembinaan pengklonan genetik.

“Jangkaan kita vaksin dapat dihasilkan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun,” katanya pada sidang media selepas melawat Ruang Reka (Hab Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi) di Taman Rasa Sayang, Paroi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak hanya memberikan tumpuan kepada penghasilan vaksin Covid-19 semata-mata tetapi juga akan membangunkan vaksin lain.

“Kita tidak tahu apa jenis wabak yang datang pada masa hadapan dan adalah penting untuk kita buat persiapan dari segi fasiliti bagi mengeluarkan sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment