Keluar tanpa BruHealth satu kesalahan

BERAKAS 25 Sept. – Mulai hari ini, hanya mereka yang mempunyai aplikasi BruHealth di telefon bimbit masing-masing atau mereka yang berkongsi aplikasi BruHealth bersama orang lain yang dikenali seperti penjaga, majikan, pengurus atau rakan sahaja yang dibenarkan keluar rumah.

“Sesiapa yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang,” kata Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Bab 62A Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dan menasihatkan mereka untuk tidak keluar rumah tanpa tujuan yang penting.

Katanya, jika perlu keluar rumah, mereka dinasihatkan untuk tidak pergi ke tempat-tempat sesak serta mengamalkan penjarakan sosial.

Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri, seperti memakai sungkup muka pada setiap masa; sentiasa membersihkan tangan; dan mengamalkan etika bersin dan batuk yang betul.

Semalam, sebanyak 263 kes baharu jangkitan Covid-19 dan tiga kematian dilaporkan yang menjadikan jumlah keseluruhan 5,960 kes dan 27 orang meninggal dunia.

Related posts

Leave a Comment