Rentas negeri di luar senarai 10 SOP

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Kelonggaran untuk merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Beliau menjelaskan, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri diteliti Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Kelonggaran merentas negeri, semuanya bergantung kepada fasa dalam PPN negeri yang berkenaan, tetapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik serta Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19.

“Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 diadakan esok dengan agenda utama memfokuskan terhadap usaha mempermudahkan 181 prosedur operasi standard (SOP) kepada 10 SOP sahaja, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Vaksinasi Covid-19 ‘Back to School’ peringkat Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan vaksinasi.

Manakala baki 675 pelajar sekolah berkenaan dijangka selesai menerima suntikan pada 24 September ini.

Keseluruhannya, sejumlah 5,887 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di sekolah di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima pelalian masing-masing.

Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 esok membabitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan beliau sendiri.

Katanya, dua menteri dijemput untuk berbincang dalam mesyuarat kedua esok iaitu Menteri Pelancongan, Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu.

“Kementerian Pelancongan akan memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

“Manakala Kementerian Belia dan Sukan akan memberi taklimat mengenai potensi kelonggaran lain di dalam sektor sukan.

“Saya faham ramai yang keliru mengenai SOP yang terlalu banyak, jadi usaha meminimumkan jumlah SOP itu dapat membantu memudahkan pemahaman setiap orang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment