NIBONG TEBAL – Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Nama pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff itu diumumkan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi.
Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Abidin adalah paling tepat memandangkan beliau mengenali semua kerja Allahyarham dan percaya mampu menggalas tanggungjawab sama seperti Allahyarham Nor Zamri.
Abidin, 56 eksekutif logistik adalah anak tempatan yang dilahirkan di Kampung Sungai Duri dan mendapatkan pendidikan awal serta menjadi pengundi DUN Sungai Bakap serta Parlimen Nibong Tebal.
“Beliau terkenal dan sangat dikenali dalam kawasan DUN Sungai Bakap, tambahan pula beliau adalah pembantu kepada ADUN sebelum ini (Allahyarham Nor Zamri) yang pastinya beliau mengetahui semua kerja-kerja di sini,” katanya.
Hadir sama, pada Majlis Pengisytiharan Calon PRK N20 Sungai Bakap, di pekarangan tapak parkir pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini malam ini adalah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin; Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN,
Muhammad Sanusi Md Nor.
Rabu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding PRK DUN Sungai Bakap.
Sementara itu Abidin mahu meneruskan legasi dan perjuangan Allahyarham sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Abidin berkata sehingga kini beliau masih terbayang kenangan pahit dan manis bersama Allahyarham yang mesra disapa ‘Abang Zam’ sepanjang berkhidmat walaupun dalam tempoh singkat.
“Terlalu banyak kenangan pahit dan manis saya bersama arwah Abang Zam yang saya masih terbayang kerana terlalu rapat dengan beliau.
Insya-Allah dengan pengalaman yang saya ada sepanjang berkhidmat selama sembilan bulan bersama arwah Abang Zam saya akan berusaha untuk mengekalkan kemenangan ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PN yang telah memberi kepercayaan dan amanah ini termasuk seluruh jentera, bahkan kepada mereka yang sanggup datang dari seluruh Malaysia dan berkampung di Sungai Bakap yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan kemenangan PN dalam PRK ini nanti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Nnn
