Syukur MoU kestabilan politik

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kerjasama rentas parti yang yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September  lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar pendekatan yang bersejarah itu dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.

Baginda berharap, Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan Kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

“Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh Kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

“Bahkan, faktor-fakor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Baginda menegaskan Kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan Kerajaan.

Related posts

Leave a Comment