Singapura lindungi warga emas

SINGAPURA 15 Sept. –  Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengambil beberapa inisiatif bagi ‘melindungi’ golongan warga emas termasuk memastikan mereka mendapat dos ketiga bagi menghadapi penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung melalui laman Facebooknya semalam berkata, kira-kira 140,000 warga emas akan dipelawa melalui SMS untuk membuat janji temu bagi mendapatkan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 mulai 14 September.

Suntikan dos ketiga itu boleh diambil di pusat vaksinasi, poliklinik atau Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) di samping akan mula diberikan di rumah-rumah jagaan mulai Rabu, 15 September.

Bagi mereka yang mengalami kesulitan untuk bergerak, pasukan-pasukan vaksinasi akan dikerahkan ke rumah para penduduk yang berdepan dengan masalah sedemikian.

Beliau juga menasihatkan warga emas mengurangkan aktiviti sosial bersama rakan-rakan mereka.

“Kepada warga emas, tidak kira sama ada anda sudah divaksin ataupun tidak, buat masa ini, adalah lebih baik jika anda dapat mengurangkan keluar rumah dan mengurangkan aktiviti sosial anda bersama rakan-rakan anda,” kata Ong

Beliau juga memaklumkan mengenai aturan pemulihan di rumah (#HomeRecovery) yang akan menjadi peraturan pilihan bagi individu-individu tertentu yang dijangkiti Covid-19.

Peraturan itu  adalah aturan pilihan bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, berusia bawah 50 tahun, berada dalam keadaan sihat dan tidak tinggal serumah bersama dengan golongan yang mudah terdedah kepada risiko jangkitan.

Ini berikutan pendedahan baru-baru ini,  bahawa lebih 98 peratus kes jangkitan di sini tidak mengalami gejala atau sekadar mengalami gejala ringan.

“Pemulihan di rumah adalah satu perubahan yang penting untuk memastikan katil hospital diperuntukkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya,” kata  Ong.

Ong juga memaklumkan, Protokol Kuarantin di Rumah (#HomeQuarantine) juga sedang dikemas kini.

“Pasukan pengesanan kontak akan memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan mengenal pasti kelompok yang sensitif dan penting seperti hospital atau pasar yang sering dikunjungi oleh warga emas, “ katanya.

Ong juga memberitahu, dua Kemudahan Jagaan Masyarakat akan ditubuhkan menjelang hujung bulan ini, dengan kapasiti 1,000 katil.

Di samping itu, jumlah katil pengasingan bagi kes-kes Covid-19 di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan hospital-hospital pula akan ditambah lagi 300, menjadikannya sebanyak 1,300.

Related posts

Leave a Comment