573 kes, satu kematian di Singapura

SINGAPURA 11 Sept. – Singapura melaporkan 568 kes baharu tempatan Covid-19, lima kes import dan satu kematian setakat tengah hari semalam, Jumaat 10 September menjadikan 70,607 kes dan 58 kematian.

Daripada 568 kes, terdapat 127 warga emas yang berumur lebih 60 tahun.

Kes kematian melibatkan lelaki tempatan berusia 80 tahun yang mengalami gejala pada 4 September dan diuji positif penyakit itu pada hari Khamis setelah dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), beliau telah menerima satu dos vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah kencing manis, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Tiga daripada kes import itu dikesan semasa ketibaan di Singapura dan dua yang lain menghidap penyakit itu semasa menjalani tempoh notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Menurut MoH, sebanyak 32 kes baharu bagi kluster  tapak binaan di 30 Sunview Way, sementara kluster  di Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard naik 23 kes  kepada 55 kes jangkitan.

Sementara itu, 689 pesakit masih dirawat di hospital, termasuk 25 kes yang mempunyai penyakit serius dan memerlukan sokongan oksigen.

Enam berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, 27 daripada mereka yang sakit teruk berumur lebih 60 tahun.

Menurut MoH lagi, sepanjang 28 hari lalu, 4.5 peratus pesakit yang tidak divaksin mengalami sakit teruk atau meninggal dunia sementara bagi yang sudah menerima vaksin sepenuhnya adalah 0.7 peratus.

Setakat Khamis, 81 peratus penduduk Singapura sudah menjalani rejimen vaksinasi penuh atau menerima dua dos vaksin Covid-19, dan 83 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Singapura sudah memberikan lebih 8.8 juta dos di bawah program vaksinasi nasional, meliputi 4.5 juta orang, dengan 4.4 juta sudah menerima rejimen penuh.

Related posts

Leave a Comment