BEIJING – Iran akan mengenakan caj baharu ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, dengan jaminan bahawa negara-negara yang dianggap “bersahabat” akan menerima layanan istimewa.
Duta Iran ke China Abdolreza Rahmani Fazli ketika ditemui pada Forum Keamanan Dunia di Beijing Abdolreza berkata, negaranya sedang bekerjasama rapat dengan Oman bagi merangka aturan baharu untuk laluan perkapalan strategik itu.
Perjanjian awal antara Iran dan AS bagi menamatkan peperangan menetapkan kapal perdagangan boleh melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang caj selama 60 hari, namun masih belum jelas mekanisme yang akan dilaksanakan selepas tempoh itu berakhir.
Beliau berkata aturan baharu itu membabitkan jaminan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, penyeliaan terhadap pergerakan kapal, selain memastikan langkah menangani kesan alam sekitar akibat jumlah kapal yang banyak.
“Kami pasti akan memberikan layanan istimewa kepada negara-negara yang bersahabat dengan kami dan yang berdiri bersama kami ketika melalui saat-saat sukar,” katanya.
Selat Hormuz lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair dunia.
Bagaimanapun, laluan itu hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran sepanjang konflik di Asia Barat, sekali gus menyebabkan harga tenaga global melonjak.
Iran menarik balik sekatan ke atas Selat Hormuz selepas mencapai perjanjian awal dengan AS bagi menamatkan konflik di Asia Barat, manakala rundingan ke arah penyelesaian damai secara kekal masih diteruskan.
