Joe Biden sah Presiden AS ke-46

WASHINGTON – Joe Biden akhirnya mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS) di Capitol, Washington pada Rabu (20 Januari 2021) sekali gus mengakhiri penggal pentadbiran Donald Trump..

Biden, 78, melakukan upacara angkat sumpah itu di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Roberts.

Bekas naib presiden AS (era Barack Obama) dan Senator veteran itu dilantik Presiden AS ke-46 di bangunan Capitol, lokasi sama penyokong Trump merusuh dua minggu lalu membantah keputusan pilihan raya presiden AS pada 3 November lalu.

Kemenangan ini adalah penantian 34 tahun bagi Biden, yang kali pertama mencuba nasib bertanding bagi jawatan Presiden AS pada 1987 dan pada usia 78 tahun, beliau juga adalah Presiden AS yang tertua.

Bagaimanapun, buat kali pertama dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden AS dan Naib Presiden dipilih itu kurang meriah kerana kehadiran orang ramai terpaksa dihadkan berikutan pandemik Covid-19.

Biden menerusi ucapannya turut menyifatkan acara bersejarah itu sebagai ‘hari demokrasi’ yang membawa harapan dan melakar sejarah baharu.

Beliau turut menggesa perpaduan untuk memulihkan semula negara itu yang terjejas teruk akibat ancaman pandemik Covid-19.

Sementara itu Kamala Harris, 56, selaku wanita pertama dan individu pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik sebagai Naib Presiden AS, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor.

 

 

Related posts

Leave a Comment