Cadang harga minimum pakej umrah

KUALA LUMPUR 4 Julai – Bagi melindungi jemaah umrah serta memastikan kualiti perkhidmatan ditawarkan, kerajaan merancang memperkenal mekanisme penetapan harga minimum dan keperluan perkhidmatan yang diseragamkan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Tiong King Sing, berkata mekanisme itu akan mewajibkan pengendali agensi pelancongan umrah mematuhi harga minimum setiap pakej dan menyatakan perkhidmatan dalam setiap pakej.

Katanya , dalam isu umrah ini, Kementerian amat serius dan telah mengadakan mesyuarat dengan pelbagai agensi termasuk Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya telah maklumkan kepada Ketua Setiausaha kementerian bahawa kita perlu menetapkan had minimum… bagi pakej umrah, harganya tidak boleh kurang daripada kadar tertentu namun perlu ada senarai perkhidmatan yang disediakan dalam setiap pakej,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Pelancongan Mesra Muslim Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan pengendali menawarkan pakej umrah pada harga yang terlalu rendah dan tidak munasabah sehingga boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta menyebabkan jemaah gagal menunaikan ibadah mereka seperti yang dirancang.

King Sing berkata, pengendali boleh membezakan pakej umrah mereka mengikut kategori seperti Premium, Emas, Perak dan Platinum tetapi mesti mematuhi harga minimum yang ditetapkan bagi setiap pakej.

“Saya tak nak tengok benda tu berlaku… orang yang pergi untuk menunaikan ibadah umrah akhir sekali balik pun tak boleh, atau dia nak pergi umrah tak boleh… (atau) sampai sana tetapi tidak boleh laksanakan ibadah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia perlu memastikan negara terus berada di hadapan dalam sektor Pelancongan Mesra Muslim memandangkan persaingan kini semakin sengit.

Sebagai contoh, Macau sudah memperluas pilihan bagi lokasi makanan halal, penginapan mesra Muslim, kemudahan surau di lapangan terbang dan maklumat pelancongan khusus untuk pengunjung beragama Islam.

“Walaupun ia terkenal sebagai destinasi perjudian, kini ia bersedia untuk mempelbagaikan sektor pelancongan terutamanya dalam pelancongan Muslim,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment