Lapan kes kluster baharu di madrasah

SINGAPURA 8 Sept. – Kementerian Kesihatan (MoH) mengesan satu kluster baharu Covid-19 di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah di Braddell Road semalam.

Setakat ini, lapan kes dilaporkan termasuk enam kes baharu.

Pada masa yang sama, sebanyak 20 kes baharu dikaitkan dengan kluster sebuah tapak binaan di 30 Sunview Way, menjadikan jumlah keseluruhan 26 kes.

Lapan kluster pusat pertukaran bas di Tampines, Boon Lay, Jurong East, Toa Payoh, Bishan, Clementi, Punggol dan Sengkang setakat ini  mempunyai 537 kes.

MoH dalam kenyataan malam tadi memberitahu, terdapat 53 kluster aktif di Singapura, yang melaporkan antara tiga dengan 291 kes jangkitan.

Sementara itu, sebanyak 643 kes sedang menjalani rawatan di hospital di mana

24 daripada kes sakit teruk dan memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala enam dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 22 adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, dengan 14 daripada mereka belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan individu belum divaksin yang sakit teruk atau meninggal dunia adalah 6.1 peratus, manakala yang sudah lengkap divaksin adalah 0.8 peratus.

Mengenai vaksinasi, setakat Isnin, lebih 8.8 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan merangkumi lebih 4.5 juta individu, dengan 4.3 juta selesai menjalani rejimen vaksin sepenuhnya.

Sebanyak 171,961 dos vaksin lain yang diiktiraf bagi kegunaan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah diberikan, meliputi 86,204 individu.

Secara keseluruhannya, 81 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen vaksinasi negara atau menerima dua dos vaksin Covid-19 dan 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Setakat semalam , secara keseluruhan, Singapura melaporkan 69,233 kes Covid-19

Related posts

Leave a Comment