Covid-19: Kes jangkitan harian 204

PUTRAJAYA 25 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam turun sedikit dengan merekodkan 204 kes termasuk lima kes import berbanding 224 yang dilaporkan kelmarin.

Menurut data portal KKMNow,  jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 5,042,015 iaitu 5,003,341 kes tempatan dan 38,674 kes import.

Semalam juga, tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kematian kekal 36,957 orang termasuk 7,873 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, jumlah kes aktif berkurangan semalam iaitu 9,220 berbanding 9,270 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,907 kes atau 96.6 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 304 pesakit atau 3.3 peratus mendapat rawatan di hospital, sembilan daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana enam orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 254 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,995,838 orang.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 67 berbanding 66 kelmarin kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 66 kes berbanding 57 kes kelmarin.

Related posts

Leave a Comment