KOTA KINABALU 6 Sept. – Dua kluster baharu Kluster Pagar Sebrang dan Kluster Koyah dikesan di Sabah yang setakat semalam merekodkan 54 kes, kata jurucakap perkembangan harian Covid-19 negeri, Masidi Manjun.
Kluster Pagar Sebrang tercetus apabila seorang pegawai penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak dijangkiti Covid-19 sehingga menular di tiga mukim di Keningau iaitu mukim Sebrang, Lingkudau dan Luagan.
Menurut Masidi, pada 25 Ogos lalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau menerima kes indeks dengan keputusan RTK AG positif dari Kampung Kadalakan yang dilaporkan dari Pusat Kuarantin Sementara Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau melalui saringan kontak rapat.
Kes indeks adalah lelaki berusia 40 tahun bertugas sebagai pegawai penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak dan aktiviti pengesanan kontak rapat pada 27 Ogos hingga 4 September lalu mendapati pertambahan bilangan kes positif di daerah sama.
“Punca disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan ahli keluarga kepada kes indeks yang kemudiannya menjangkiti rakan sekerja, penghuni penjara di bawah jagaan pegawai itu dan juga ahli keluarganya yang lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kluster ini dinamakan Pagar Sebrang kerana kluster ini terletak di sebuah institusi penjara golongan juvana, yang mana kawasan berpagar penuh di Mukim Sebrang.
Masidi berkata, setakat hari ini 29 kes positif dalam kluster terbabit termasuk lima kes baharu dilaporkan.
Kluster Koyah di Kinabatangan pula dikesan di ladang sawit di Mukim Sukau.
Katanya, kes indeks membabitkan pekerja ladang lelaki berusia 43 tahun yang disahkan positif.
“Setakat hari ini, aktiviti persampelan kontak seterusnya mengesan 25 kes positif dalam kalangan kontak sosial termasuk 19 kes baharu dilaporkan,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam (6 September) kekal mencatatkan empat angka iaitu 2,136 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 159,421 kes.
Sebanyak 33 kes kematian dilaporkan iaitu 12 kes di Tawau, tujuh kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Kalabakan dan Tuaran, dua kes di Lahad Datu dan Penampang manakala Kudat, Papar, Putatan dan Semporna masing-masing mencatatkan satu kes.
