AS paling banyak kes

AMERIKA Syarikat (AS) terus mendahului negara lain sebagai negara paling banyak mempunyai kes jangkitan Covid-19 dengan jumlah keseluruhannya setakat ini meningkat kepada 119,758.

Menurut data Johns Hopkins University, setakat pukul 6 pagi ini (waktu Malaysia), negara itu muncul sebagai satu-satunya negara yang mempunyai kes positif melepasi angka 100,000.

Dalam tempoh 24 jam lepas, AS mencatatkan peningkatan kes positif sebanyak lebih 15,000, manakala angka kematian  mencecah hampir 2,000, dengan jumlah 1,991 mangsa.

Angka korban dan jangkitan paling tinggi adalah di New York, Washington dan New Jersey – masing-masing mencatatkan 517, 125 dan 86 kematian

Daripada jumlah 119,758 kes jangkitan di AS, sebanyak 921 pesakit telah sembuh.

Sementara itu, Itali yang juga telah melepasi angka jangkitan di China, mempunyai jumlah kes jangkitan menghampiri 100,000 dan hampir pasti akan mengikut jejak AS dalam beberapa hari akan datang sekiranya mereka tidak berjaya membendung penularan wabak itu.

Itali kini mempunyai 92,472 kes positif Covid-19. dengan angka kematian mencecah 10,023 mangsa dan menjadi satu-satunya negara yang mempunyai kes kematian melebihi 10,000.

Dalam tempoh sehari, negara itu mencatat 889 kematian pada Sabtu, menurun sedikit daripada hari sebelumnya iaitu 969 kes – rekod kematian paling tinggi dalam tempoh 24 jam pernah dicatatkan.

China kini terus kekal sebagai negara ketiga dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 81,999, dengan pertambahan hanya pada kes luar negara dan bukannya kes tempatan.

Menurut Reuters, Bandar Wuhan yang merupakan tempat tercetusnya wabak Disember lalu, mula menarik balik perintah berkurungnya pada Sabtu, setelah dua bulan terputus hubungan dengan kawasan-kawasan lain di China.

Wuhan mencatatkan kira-kira 60 peratus daripada kes Covid-19 di seluruh dunia, namun ia mengalami penurunan ketara beberapa minggu kebelakangan ini.

Sementara itu, data juga menunjukkan negara keempat dan kelima yang mempunyai kes jangkitan Covid-19 adalah Sepanyol dan Jerman dengan masing-masing mencatatkan 72,335 dan 57,695.

Bagaimanapun, Sepanyol juga merupakan negara kedua tertinggi bilangan kematian dengan 5,820 kes. Ini diikuti dengan China sebanyak 3,177 kes dan Iran 2,517 manakala Perancis 2,314 kes.

Bilangan kes positif jangkitan di seluruh dunia kini melebihi 600,000 dengan lebih 30,000 kematian. Sehingga kini, 657, 691 kes jangkitan direkodkan dengan melibatkan 177 buah negara serta 30,438 kematian.

Related posts

Leave a Comment