PUTRAJAYA 3 Sept. – Lima negeri membabitkan Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis mencatatkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) melebihi 100 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga lagi negeri iaitu Selangor, Johor dan Kelantan mencatatkan penggunaan katil di ICU melebihi 90 peratus.
Kedah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kadar penggunaan katil di wad ICU dengan 104 katil dan daripada jumlah itu 128 peratus sudah digunakan manakala di Sabah yang mempunyai 145 unit katil sudah menggunakan 110 peratus fasiliti berkenaan.
Selain itu, Perak dengan 90 katil dan kadar penggunaannya sudah mencecah 106 peratus, diikuti Pulau Pinang yang mempunyai 69 unit katil dan menggunakan fasiliti berkenaan sebanyak 101 peratus.
Negeri terakhir ialah Perlis iaitu sejumlah 11 unit katil di wad ICU serta penggunaan lebih 100 peratus.
Dr Noor Hisham berkata, Selangor mempunyai 337 unit katil manakala Kelantan pula, 77 katil.
Katanya, Johor yang mempunyai 108 unit katil kini sudah menggunakan 98 peratus kadar fasiliti berkenaan.