Jumlah kes Brunei Darussalam 3,093

BANDAR SERI BEGAWAN 3 Sept. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam kini mencecah 3,093, tidak sampai sebulan selepas lapan kes memecahkan rekod tanpa kes tempatan selama lebih setahun.

Sebelum ini, sehingga 6 Ogos, Brunei Darussalam merekodkan 339 kes termasuk 198 kes import sejak kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan. pada 6 Mei 2020.

Rekod tanpa kes tempatan itu berakhir pada 7 Ogos, apabila lapan kes termasuk satu kes import dilaporkan yang kemudiannya terus menunjukkan peningkatan harian termasuk pengesanan kluster baharu.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar hari ini memaklumkan sebanyak 133 kes baharu direkodkan yang melibatkan 62 kes berkaitan sembilan kluster aktif dan 71 kes lagi masih dalam siasatan sumber jangkitan.

Kes berkaitan kluster aktif itu adalah mereka yang dikuarantin selepas menjadi kontak kepada kes-kes yang disahkan sebelum ini.

Bercakap pada sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Brunei Darussalam, beliau berkata sebanyak 153 pesakit dilaporkan sembuh termasuk 34 kes kategori 1 yang menjalani pengasingan sendiri selama 14 hari.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 1,297 kes.

Sebanyak 1,781 kes aktif direkodkan dan sembilan kes dalam keadaan kritikal di mana lapan memerlukan bantuan mesin pernafasan dan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart / lung machine (ECMO).

Pada masa yang sama, 27 kes kategori 4 dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif untuk  pemantaun rapi.

Kementerian Kesihatan juga mengesahkan sebanyak 338,399 dos vaksin telah diberikan meliputi 51.5 peratus populasi negara yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 23.2 peratus populasi menerima dos lengkap.

Related posts

Leave a Comment