Kes harian tertinggi di Singapura

SINGAPURA 3 Sept. – Sebanyak 216 kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 dan tiga kes import dilaporkan setakat tengah hari ini, jumlah kes harian tertinggi menjadikan jumlah keseluruhan 68,210

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 109 kes tempatan yang direkodkan tidak berhubung kait dengan kes terdahulu, 56 kes dikaitkan dengan kes sebelumnya dan sudah dikenakan kuarantin.

Sebanyak 51 jangkitan berkait dengan kes terdahulu dikesan menerusi ujian pemantauan.

MoH juga memaklumkan dua kes baharu yang dilaporkan hari ini melibatkan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas yang belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin dan berisiko menghidap jangkitan teruk.

Tiga kes import sudah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Dua kes dikesan semasa ketibaan manakala satu lagi mengalami penyakit itu semasa tempoh pengasingan.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian Covid-19 Lawrence Wong berkata, sekatan sedia ada tidak akan dilonggarkan ketika   pihak berkuasa memantau keadaan di tengah-tengah lonjakan kes tempatan.

Beliau mengulas jumlah kes tempatan Covid-19 di Singapura yang mencecah 216 pada hari ini, dan kelompok-kelompok jangkitan besar yang muncul di pusat pertukaran bas dan Bugis Junction.

Wong berkata langkah sekatan juga tidak perlu diketatkan kerana Singapura kini mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi dan sudah mula meneruskan kehidupan dengan pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, apabila kita melihat situasi dengan kes harian yang tinggi, kami akan mempertimbangkan langkah-langkah seperti kewaspadaan dipertingkat atau mungkin langkah pemutus jangkitan bagi membendung jangkitan,” kata Wong.

Beliau berkata, negara berada di fasa baru, di mana  tahap perlindungan vaksin yang tinggi untuk melindungi rakyat Singapura.

Katanya, sekatan lebih ketat adalah langkah terakhir bagi mengelakkan beban kepada sistem hospital.

Related posts

Leave a Comment