GENEVA – Kegiatan pemerdagangan pekerja untuk pusat penipuan dalam talian adalah antara bentuk jenayah pemerdagangan manusia ‘paling cepat berkembang’ di dunia, demikian amaran Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Menurut IOM, setakat ini mangsa dari lebih 80 negara terpedaya oleh tawaran pekerjaan palsu hingga dipaksa menyertai operasi jenayah berkenaan.
Bercakap menjelang Hari Menentang Pemerdagangan Orang Sedunia pada Khamis, Ketua Pengarah IOM, Amy Pope memberitahu wartawan bahawa rangkaian jenayah kini semakin menyasarkan pencari kerja berpendidikan menerusi iklan di media sosial.
Katanya, masing-masing menyangkakan ia tawaran kerja biasa manakala kebanyakan mangsa fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai kelulusan ijazah universiti.
Pope berkata pasport mangsa yang tiba di kem atau premis penipuan itu selalunya dirampas, selain mereka berdepan penderaan fizikal serta psikologi dan dihalang keluar daripada premis terbabit.
Katanya, operasi berkenaan sebagai sangat tersusun dan menjana keuntungan berlipat ganda.
Pope memetik anggaran terkini Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang menunjukkan kerugian global tahunan akibat operasi penipuan dalam talian mencecah antara AS$88 bilion (RM360 bilion) hingga AS$114 bilion (RM466 bilion) tahun lalu.
Tambah beliau, IOM telah membantu menyelamatkan lebih 3,500 mangsa dari 33 negara, dengan kebanyakan mereka pulang ke tanah air dalam keadaan trauma, dibebani hutang serta kehilangan sumber kewangan selepas berbulan-bulan atau bertahun-tahun dalam kurungan.
Beliau turut memberi amaran bahawa mangsa yang terselamat sering disalah anggap sebagai penjenayah dan bukannya mangsa.
Pope menggesa kerjasama rentas sempadan, usaha pencegahan dan kesedaran awam dipertingkat bagi menumpaskan rangkaian pemerdagangan serta melindungi orang ramai daripada skim pengambilan kerja yang mengelirukan.
Menurutnya, dianggarkan 300,000 individu kini bekerja di pusat penipuan dalam talian, dan biarpun bukan semuanya mangsa pemerdagangan, sebilangan besar daripada mereka telah terpedaya untuk memasuki premis berkenaan dan sukar untuk diselamatkan.
Nnn
