4.3 juta lengkap dos di Singapura

SINGAPURA 2 Sept. – Sebanyak 80 peratus penduduk Singapura sudah selesai melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 manakala 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), lebih 8.7 juta dos vaksin Covid-19 diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan lebih 4.3 juta penduduk selesai menjalani vaksinasi penuh setakat 31 Ogos.

Sebanyak 167,898 dos vaksin lain yang diiktiraf di bawah senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia diberikan setakat Selasa, merangkumi 85,786 individu.

MoH dalam kenyataannya turut menyatakan sebanyak 499 pesakit dirawat di hospital di mana lima kes berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi dan 22 kes jangkitan teruk memerlukan bantuan oksigen.

Dalam kalangan pesakit yang menghidap jangkitan teruk, 18 daripadanya berusia lebih 60 tahun, dengan sembilan belum divaksin atau baru menerima satu dos vaksin.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan kes belum divaksin yang menghidap jangkitan teruk atau meninggal dunia adalah 8.3 peratus manakala mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin adalah 1.1 peratus.

Related posts

Leave a Comment