Pastikan semua PPV selamat

PUTRAJAYA : Eloklah langkah keselamatan yang lebih ketat diambil bagi memastikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin.

Pastinya kita tidak mahu PPV pula mencetuskan kluster Covid-19 akibat kes-kes positif yang tidak disedari.

Ini berikutan 204 sukarelawan di PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam disahkan positif selepas saringan beramai-ramai dilakukan pada 10 Julai.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, keputusan RT-PCR menunjukkan kesemua yang positif mempunyai CT (cycle threshold) lebih daripada 35, di mana mereka mempunyai ‘load’ virus yang rendah.

Menurutnya, saringan Covid-19 beramai-ramai dibuat sebaik sahaja pihaknya mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.

Justeru, beliau menyarankan penerima vaksin yang hadir di PPV tersebut pada 9 Julai, daripada pukul 4 petang, agar memantau sebarang gejala Covid-19 selama 10 hari.

Mereka yang hadir pada 10, 11 dan 12 Julai juga disarankan memantau gejala dan melakukan kawalan kendiri selama 10 hari.

Terdahulu hari ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengumumkan PPV IDCC Shah Alam ditutup hari ini susulan terdapat kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan.

Penutupan selama sehari itu diambil bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan, selepas memperoleh hasil keputusan ujian Covid-19 malam tadi.

Khairy juga mengarahkan, semua petugas IDCC sebelum ini diasingkan dan ditukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.

Beliau juga mengarahkan PPV lain untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

Related posts

Leave a Comment