Booster bagi imun badan rendah

LONDON: Selepas dinasihatkan Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI), United Kingdom (UK) memberi keutamaan suntikan vaksin Covid-19 ketiga kepada individu dengan sistem imun badan rendah.

Menurut Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid, suntikan penggalak atau “booster shot’ itu akan diberikan kepada individu yang berusia 12 tahun ke atas dengan sistem imun badan rendah.

“Hari ini kita menerima dengan terbuka nasihat oleh JCVI bahawa mereka yang mempunyai sistem imun badan rendah akan diberikan suntikan ketiga,” katanya yang menyifatkan vaksin sebagai perisai sudah membuktikan kejayaan.

Pada masa yang sama, Javid turut memberi jaminan program ‘booster shot’ di negara itu tetap akan diteruskan seperti yang dirancang bermula akhir bulan ini.

Beliau menyifatkan vaksin ‘menyelamatkan’ 105,000 nyawa dan mengekang 24 juta jangkitan.

Javid menegaskan, suntikan penggalak kepada golongan ini tidak sama seperti suntikan penggalak kepada individu yang sihat tetapi ia adalah sebahagian daripada vaksinasi utama yang dijadualkan buat golongan tersebut.

“Kami sudah menerima nasihat oleh JCVI dan mereka sangat jelas berkenaan suntikan ketiga ini perlu diberikan kepada individu berusia 12 tahun ke atas dengan sistem imun badan lemah dan itu yang akan kami laksanakan, “ katanya.

Beliau berkata, perkara ini akan terus diperhalusi pada masa yang akan datang dan sekiranya mereka berpendapat lain dan perlu diberikan kepada golongan lain, pihaknya akan mematuhi nasihat tersebut.

Related posts

Leave a Comment