Menteri, timbalan angkat sumpah

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Turut hadir di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lalu, yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. 

Perdana Menteri, yang dijadual hadir, tidak dapat menghadirkan diri kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Begitu juga Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif Covid-19.

Istiadat berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang.

Menteri dan Timbalan Menteri  melafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Related posts

Leave a Comment