Empat menteri Sarawak kekal

KUCHING 27 Ogos – Pelantikan lapan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam barisan Kabinet disifatkan sebagai pengiktirafan untuk rakyat Negeri Bumi Kenyalang itu, kata Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof.

Beliau ketika menzahirkan pendirian sedemikian, berkata pelantikan itu satu amanah dan tanggungjawab besar, demi rakyat serta negara.

“Saya sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini.

“Seperti ditekankan Perdana Menteri, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.

Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara, demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lapan wakil GPS, masing-masing dilantik menerajui satu jawatan Menteri Kanan, tiga menteri penuh dan empat timbalan menteri.

Fadillah yang juga Menteri Kanan (Kerja Raya) menggesa ahli politik tanpa mengira parti dan seluruh lapisan masyarakat, perlu bersama-sama memainkan peranan membantu menjayakan usaha ke arah pemulihan Malaysia.

Selain Fadillah, turut dilantik adalah Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

Timbalan Menteri pula adalah Hanifah Hajar Taib (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Henry Sum Agong (Timbalan Menteri Pengangkutan), Ali Biju (Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Aaron Ago Dagang (Timbalan Menteri Kesihatan II), Hasbi Habibollah (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II) dan Willie Mongin (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II)

Related posts

Leave a Comment