Dua muka baharu Sabah sertai Kabinet

KOTA KINABALU 27 Ogos – Dua muka baharu dari Sabah, Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin dan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa dilantik membarisi Kabinet kerajaan Pusat yang diumumkan hari ini.

Mohamad yang mewakili UMNO Sabah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Dua manakala Yamani mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan Dua.

Jawatan Mohamad sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya manakala Yamani menggantikan Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri yang sebelum ini menyandang portfolio sama.

Turut dikekalkan dalam Kabinet baharu itu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Seorang lagi, Ahli Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu kekal memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin turut dikekalkan dan sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Seorang lagi yang dikekalkan ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup.

Beliau berpindah portfolio daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) kepada Timbalan Menteri Kerja Raya.

(Foto Utusan Borneo)

Related posts

Leave a Comment