Dua lagi kematian di Singapura

SINGAPURA 26 Ogos – Dua lagi kematian dilaporkan akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah yang meninggal dunia di Singapura sepanjang bulan ini 15 orang.

Kematian ke-14 melibatkan lelaki tempatan berusia 86 tahun mempunyai sejarah penyakit barah, kardiomiopati (penyakit otot jantung), penyakit buah pinggang teruk, darah tinggi dan kolestrol tinggi dalam darah.

Lelaki yang sudahpun menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 itu meninggal dunia pada Selasa 24 Ogos, setelah dimasukkan ke hospital pada 1 Julai.

Kes ke-15 melibatkan wanita berusia 95 tahun yang meninggal dunia pada Rabu dan belum divaksin serta  mempunyai sejarah penyakit Alzheimer.

Wanita itu mengalami simptom pada 5 Ogos dan diuji positif Covid-19 pada 9 Ogos selepas dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Singapura setakat ini melaporkan 52 kematian akibat koronavirus Covid-19.

Related posts

Leave a Comment