Kes positif meningkat semula

PUTRAJAYA 25 Ogos – Malaysia sekali lagi merekodkan peningkatan kes harian Covid-19 hari ini dengan 22,642 kes baharu dalam tempoh 24 jam berbanding 20,837 semalam menjadikan  angka keseluruhan meningkat kepada 1,616,244 kes. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 22,637 kes tempatan, 19,028 melibatkan warganegara dan 3,609 bukan warganegara manakala daripada lima kes import, empat kes adalah warganegara.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan setakat ini adalah 264,292.

Manakala jumlah kes sembuh hari ini adalah sebanyak 20,798 dengan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 1,337,134 kes.

Daripada 22,642 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 478 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala 22,164 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhan, 18,143 kes (80.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sementara itu sebanyak 265 kematian baharu dilaporkan menjadikan angka kumulatif sebanyak 14,818 kes.

Selangor merekodkan 105 kematian diikuti 39 kes di Johor, 23 di Sabah, 19 di Kedah, masing-masing 18 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, 12 di Negeri Sembilan, sembilan  di Perak, enam di Sarawak, masing-masing lima kes di Kelantan dan Pahang, empat di Melaka, serta dua di Terengganu.

Ketika ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan seramai 1,003 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 490 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment