Kerajaan, pembangkang perkasa Parlimen

PUTRAJAYA 25 Ogos – Pembangkang bersetuju bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka juga bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Katanya, persetujuan berkenaan dicapai pada pertemuan lebih satu jam di antara beliau dengan pimpinan pembangkang itu susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Hadir pada pertemuan di pejabatnya itu adalah Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR,  Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pertemuan ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Related posts

Leave a Comment