Bekerja bersama keluarga Malaysia

PUTRAJAYA 22 Ogos – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengajak semua pihak bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana, dalam erti kata lain bersama mendakap erat prinsip kebersamaan.

Katanya, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti kerana kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan semua ketua parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika sesi menghadap baru-baru ini.

Justeru, beliau menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, peralihan dua kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Justeru, beliau mengajak semua pihak supaya bergerak ke hadapan, meleraikan segala perebutan kuasa politik dan berjuang sebagai sebuah keluarga besar merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat serta memulihkan semula tanah air.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara supaya segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Beliau berikrar akan melakukan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukannya tidak dipersiakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment