Malaysia terima CanSino satu dos

PUTRAJAYA 20 Ogos – Malaysia menerima sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino daripada pembekal CanSino Biologics, China, hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kiriman ringkas melalui media sosial.

Vaksin yang datang dalam bentuk produk siap (finished product) itu adalah antara 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah dengan penghantaran berperingkat.

Ia juga adalah vaksin Covid-19 satu dos yang pertama di Malaysia.

Setakat ini, profil vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari lalu membabitkan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech (Cominarty), Sinovac (CoronaVac) dan AstraZeneca manakala satu lagi vaksin iaitu Johnson & Johnson juga sudah mendapat kelulusan bersyarat.

Ketibaan vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.50 pagi dengan penerbangan MAS Kargo menggunakan pesawat MH361 dari Beijing, China disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr Siti Hamisah Tapsir; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Dr Mohd Nor Azman Hassan.

KKM dan MOSTI dalam satu kenyataan, berkata Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia dan vaksin itu mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di negara ini oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada 15 Jun lalu.

Dengan ketibaan vaksin berkenaan, ia bakal memudahkan pemberian vaksin terutama di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut garis masa yang ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment