Lebih 12 juta lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA 20 Ogos – Sebanyak 336,882 dos kedua diberikan semalam menjadikan 12,079,978 atau 51.6 peratus populasi dewasa negara sudah menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Sehingga 11.59 malam tadi, 517,682 dos harian termasuk 180,810 dos pertama diberikan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini mencecah 29,886,548 dos.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), setakat semalam juga, seramai 17,806,570 orang telah menerima dos pertama.

Labuan kini mencapai 90.2 peratus daripada populasi dewasanya yang menerima dua dos vaksin, diikuti Sarawak dengan 83 peratus.

Populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin di Lembah Klang juga sudah mencapai 76.2 peratus; Negeri Sembilan (68.8 peratus) dan Perlis (59.3 peratus).

Bagaimanapun, populasi dewasa di negeri lain yang menerima dos lengkap masih belum mencecah 50 peratus iaitu Melaka dengan 43.2 peratus; Pulau Pinang (41.7 peratus); Terengganu (39.6); Perak (38.7 peratus); Pahang (38 peratus); Kedah (34.9 peratus); Kelantan (34 peratus); Johor (33.6 peratus) dan Sabah mencatatkan peratusan terendah populasi dewasanya yang sudah menerima dua dos vaksin setakat semalam dengan 26.9 peratus.

Related posts

Leave a Comment