Vaksinasi syarat lawat wad hospital

SINGAPURA 16 Ogos – Lawatan ke wad hospital di Singapura dibenarkan semula mulai Khamis ini dengan syarat pelawat lengkap divaksinasi atau menunjukkan ujian negatif Covid-19 yang sah.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) langkah ini bertujuan mengurangkan risiko Covid-19 dibawa masuk ke hospital dan melindungi kapasiti hospital.

Lawatan ke hospital digantung selama dua minggu setelah lebih banyak kes Covid-19 dalam masyarakat dkesan, termasuk dalam kalangan kakitangan dan pesakit hospital.

Pelawat yang sudah divaksin akan diminta menunjukkan status vaksinasi mereka di HealthHub atau aplikasi TraceTogether sebagai bukti vaksinasi.

Bagi pelawat yang tidak divaksinasi harus memastikan mereka mendapatkan ujian Covid-19 pra-lawatan yang dibayar sendiri sebelum melakukan lawatan.

Ujian itu mesti dijalankan atau diawasi oleh penyedia ujian Covid-19 yang diluluskan oleh MoH, dan termasuk ujian yang diarahkan oleh majikan yang dilakukan di pusat ujian pantas.

Bagi mengurangkan risiko, had masa lawatan selama 30 minit akan dikekalkan untuk semua pelawat tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Setiap pesakit boleh mendaftar hingga dua pelawat setiap kali masuk ke hospital, dan menerima hingga dua kunjungan setiap hari, di mana hanya seorang pelawat dibenarkan di sisi katil.

Pesakit yang sakit teruk akan dibenarkan hingga lima pelawat berdaftar dengan dua pelawat dibenarkan di sisi katil pada satu-satu masa.

Related posts

Leave a Comment