PUTRAJAYA 16 Ogos – Kes harian Covid-19 hari ini menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 19,740 kes berbanding 20,546 yang direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 1,424,639 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 249,277 kes.
Daripada 19,740 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 298 kes (1.5 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala 19,442 kes (98.5 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Selain itu, katanya sebanyak 274 kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka kumulatif kini sebanyak 12,784 kes.
Sebanyak 100 kematian dilaporkan di Selangor, 39 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 31 di Johor, 21 di Kedah, 19 di Pulau Pinang, 16 di Melaka, 15 di Sabah, 10 di Perak, sembilan di Kelantan, masing-masing lima di Sarawak dan Negeri Sembilan, tiga di Terengganu, serta satu di Pahang.
Setakat ini, 1,047 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 520 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah kes pulih terus merekodkan pertambahan sebanyak 17,450 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini 1,162,578 kes.
