PUTRAJAYA 29 April – Pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun sedang diusahakan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.
Katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.
Susulan keputusan tersebut, yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan perkara teknikal.
“Ia termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusinya Abdul Ghani Salleh berkata ketika itu, pihaknya perlu realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Sebelum ini, pada Julai 2019, pindaan perlembagaan mengenai kelayakan mengundi pada usia 18 tahun mendapat sokongan penuh ahli Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 atau mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.
“Kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard, selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini,” jelasnya.