75% lengkap vaksinasi di Singapura

SINGAPURA 15 Ogos – Kira-kira 75 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani vaksinasi penuh atau menerima dua dos vaksin Covid-19, sementara 81 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan setakat Jumaat.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), lebih 8.3 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional itu dengan lebih 4 juta orang melengkapi dua dos.

Di samping itu, 145,688 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah diberikan setakat Jumaat kepada 83,327 orang.

Sementara itu Singapura melaporkan tiga kluster baharu dengan dua daripadanya melibatkan kakitangan di pusat-pusat pertukaran bas.

Lima kes baharu dilaporkan dalam kluster melibatkan anggota kakitangan pusat pertukaran bas Bishan, menjadikan jumlah jangkitan bagi kluster itu sembilan orang.

Empat kes pula dilaporkan dalam satu kluster melibatkan anggota kakitangan pusat pertukaran bas Sengkang, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam kluster itu sebanyak 13.

Bagaimanapun MoH tidak menyatakan butiran mengenai kluster ketiga, yang melibatkan tiga kes baharu.

Related posts

Leave a Comment