Dua kluster, 42 kes baharu di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 14 Ogos – Brunei Darussalam merekodkan dua lagi kluster baharu dan 42 kes jangkitan Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 640 kes.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, kluster baharu itu dikenali sebagai Kluster BSP HQ yang merekodkan satu kes dan Kluster IBTE KB juga satu kes.

Kluster sedia ada juga menambah kes baharu iaitu Kluster Imigresen tujuh kes, Kluster ABCi (4), Kluster Champion 7 (4), Kluster 477 (4), Kluster Chung Hua KB (3), Kluster Total (1), Kluster Semporna Enak (1), Kluster Al Falaah Freda Radin (1).

“Sebanyak 15 kes lagi belum diketahui puncanya,” katanya pada sidang media situasi terkini Covid-19 di sini petang ini.

Katanya, sebanyak tiga kes dilaporkan sembuh menjadikan 330 pulih sementara terdapat 370 kes aktif di mana dua orang kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan dan satu kes pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Beliau berkata, kesemua kes positif  itu adalah  mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes sebelum ini dan ketika ini pengesanan kontak masih diteruskan.

Mengenai tawaran kepada jururawat dan doktor sama ada di swasta atau sudah bersara membantu kementerian menghadapi pandemik ini, Dr. Md Isham berkata, setakat ini lapan doktor dan lapan jururawat tampil menawarkan diri.

Sementara itu Brunei Darussalam melanjutkan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 16 hari lagi dari 16 Ogos hingga 31 Ogos.

Ia turut melibatkan kemasukan warga asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Brunei Darussalam kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberi kebenaran oleh kerajaan .

Related posts

Leave a Comment