Dua kes keracunan Ivermectin

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pusat Racun Negara (PRN) menerima dua kes keracunan akibat pengambilan ubat antiparasit Ivermectin secara rawatan kendiri tanpa saranan dan kawalan pihak hospital.

Dalam satu kenyataan, PRN memaklumkan kes keracunan itu membabitkan seorang individu dewasa berusia 35 tahun, yang mengalami kesan sampingan sesak nafas berpanjangan selepas mengambil satu pil Ivermectin.

Satu lagi kes membabitkan seorang warga emas yang tidak sedarkan diri selepas menelan 15 pil Ivermectin sekali gus.

Lebih membimbangkan, PRN memaklumkan tiada antidot atau rawatan khusus untuk kes keracunan akibat pengambilan Ivermectin buat masa ini.

Menurut kenyataan melalui Facebook, PRN menegaskan, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia tetapi terdapat aktiviti penjualan ubat antiparasit haiwan itu secara tidak sah.

“Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian.

“Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, import dan penggunaan Ivermectin di Malaysia hanya diluluskan bagi tujuan percubaan klinikal, dan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia untuk kegunaan manusia.

Related posts

Leave a Comment