PARIS – Purata suhu siang dan malam di Perancis mencapai 30°C, memecahkan rekod sebelumnya 29.8°C yang direkodkan sehari lebih awal, demikian laporan agensi meteorologi negara, Meteo-France.
Ini menjadikan Perancis mencatatkan hari paling panas sejak rekod bermula 1947 apabila gelombang haba ekstrem melanda sebahagian besar Eropah Barat, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan elektrik dan kematian di beberapa kawasan.
Lebih separuh wilayah Perancis kini berada di bawah amaran haba merah, dengan puluhan ribu kediaman di bahagian barat negara dilaporkan terputus bekalan elektrik akibat tekanan terhadap infrastruktur tenaga.
Gelombang haba yang melampau telah menyebabkan kerosakan pada sistem elektrik, termasuk transformer yang gagal berfungsi akibat suhu tinggi.
Di wilayah barat laut, kira-kira 68,000 rumah terputus bekalan elektrik, manakala jumlah keseluruhan pengguna terjejas mencecah lebih 100,000 pada satu ketika.
Pihak berkuasa memberi keutamaan kepada pemulihan elektrik di hospital dan pusat penjagaan warga emas, dengan penggunaan generator sementara untuk memastikan perkhidmatan kritikal terus beroperasi.
Suhu maksimum di beberapa kawasan barat Perancis direkodkan antara 39°C hingga 43°C, manakala kawasan tertentu pernah mencatat suhu sehingga 44.3°C sebelum ini.
Di Paris dan bandar utama lain, suhu melebihi 40°C menyebabkan gangguan aktiviti harian.
Mercu tanda terkenal seperti Muzium Louvre dan Menara Eiffel terpaksa ditutup lebih awal bagi melindungi pengunjung dan pekerja daripada risiko haba melampau.
Laporan menyebut jumlah kematian berkaitan haba di Perancis dan Sepanyol telah meningkat kepada puluhan kes, termasuk insiden melibatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan panas.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan Perancis, malah turut melanda Sepanyol, Itali, United Kingdom dan negara Eropah lain.
Sebahagian kawasan di UK turut mengeluarkan amaran haba merah, dengan suhu dijangka mencapai sehingga 38°C manakala di Jerman, Belanda dan Belgium, suhu dijangka memuncak menjelang hujung minggu.
Nnn
