Belum masanya dos penggalak

PUTRAJAYA 14 Ogos – Suntikan penggalak vaksin Covid-19 tidak perlu dalam tempoh terdekat walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak keperluan berkenaan bagi memastikan keberkesanan pelalian itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemberian dos berkenaan perlu dipertimbangkan secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Saya berpandangan kita memerlukan dos penggalak tetapi pemberiannya bukanlah dalam masa terdekat ini,” katanya pada Persidangan Penjagaan Kesihatan 2021 secara maya, hari ini.

Beliau berkata, kebiasaannya vaksin mempunyai tindak balas imun dalam tempoh lapan bulan hingga setahun.

Justeru banyak bukti dan data diperlukan sebelum pelaksanaan dos penggalak vaksin Covid-19 itu.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 digunakan ketika ini terbukti berupaya dan efektif melawan varian Delta, selain data vaksinasi di Labuan dan Sarawak berjaya menurunkan kadar kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan penggunaan ventilator.

Dr Noor Hisham turut berharap kes di Lembah Klang akan menurun apabila 50 peratus penduduknya lengkap divaksinasi menjelang 31 Ogos ini.

“Kita sudah pun mendapat hasil baik (selepas kadar vaksin tinggi) apabila jumlah warga emas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh menurun, selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan bagi golongan berkenaan.

“Kini kita lihat keadaan sama bagi golongan berusia 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga menurun dalam tempoh seminggu lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment