57 kes, satu kematian di Singapura

SINGAPURA 14 Ogos – Singapura melaporkan 57 kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 dan satu lagi kes import setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 66,119 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), 17 kes tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu, 29 kes dikaitkan dengan kes sebelumnya dan telah dikuarantin dan 11 kes berhubung kait dikesan menerusi ujian pemantauan.

Dalam kalangan kes berkenaan, satu kes membabitkan pesakit berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi dan berisiko mengalami sakit teruk.

Satu kes import pula dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di sini.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 84 tahun meninggal dunia semalam akibat komplikasi yang disebabkan oleh Covid-19. Ini merupakan kematian ke-44.

Lelaki itu mengalami gejala-gejala Covid-19 pada 28 Julai dan dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada keesokan harinya, di mana beliau diuji positif penyakit tersebut.

Beliau belum divaksinasi dan mempunyai sejarah penyakit barah, penyakit jantung iskemia, kencing manis, tekanan darah tinggi dan hyperlipidaemia.

Related posts

Leave a Comment