96.7 peratus kes kategori 1 & 2

PUTRAJAYA 14 Ogos – Kes harian Covid-19 merekodkan 20,670 kes baharu, turun sedikit berbanding 21,468 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu kini mencecah 1,384,353 jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 260 kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat virus itu adalah 12,228 kes.

Kes sembuh pula meningkat kepada 1,128,183 orang apabila 17,655 lagi pesakit dilaporkan pulih manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan yang direkodkan sehingga hari ini adalah 243,942 kes.

Menurutnya lagi, 1,096 individu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 540 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan daripada 20,670 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 676 kes (3.3 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala 19,994 kes (96.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Secara keseluruhan, hanya 2,646 kes (12.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini telah lengkap di vaksinasi (iaitu dua minggu selepas mendapat dos kedua).

Daripada 260 kes kematian hari ini, sebanyak 77 kes di Selangor, 56 kes di Kuala Lumpur, 50 di Johor, 18 di Perak, 16 di Negeri Sembilan, 14 di Kedah, 10 di Sabah, lapan kes di Melaka, lima di Terengganu, masing-masing dua di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Pahang.

Related posts

Leave a Comment