Satu kes Kategori 5, tiga kes Kategori 4

BERAKAS 28 Jun – Brunei Darussalam merekodkan satu kes dalam Kategori 5, iaitu memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU), manakala tiga kes berada di dalam Kategori 4, iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 744 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 158,411 kes pulih.

Mengenai liputan vaksinasi sebanyak 72.9 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini telah mendapatkan tiga dos vaksin Covid-19, manakala 14.9 peratus mendapatkan dos keempat.

Sebanyak 74.0 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dua dos vaksin Covid-19 manakala 49.6 peratus remaja 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin

Semalam Menteri Kesihatan, Dr. Md Isham Jaafar memaklumkan dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes Covid-19 menunjukkan peningkatan dengan jumlah kes yang dikesan pada kadar purata kira-kira 920 kes setiap hari.

Sebanyak 55,525 keputusan Ujian Pantas Antigen (ART)  dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu dengan 11.6 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif.

Hasil terkini Ujian Gene Sequencing bagi kes-kes Covid-19 telah mengesahkan terdapatnya Omicron Subvarian BA.5 di negara ini, sebagai tambahan kepada Omicron Subvarian BA.4 yang telah diumumkan pada minggu.

Katanya, peningkatan kes dalam beberapa minggu kebelakangan adalah besar kemungkinan disebabkan oleh Omicron Subvarian BA.4 dan BA.5.

Keadaan ini jelasnya adalah serupa dengan keadaan yang dilihat di beberapa buah negara lain dan adalah juga dijangkakan peningkatan ini tidak akan membebankan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

Mengenai jumlah kes aktif harian Covid-19 yang tidak lagi dikongsikan sejak 22 Jun yang lalu, beliau menjelaskan, bahawa ini adalah kerana kadar imuniti yang tinggi dalam kalangan penduduk negara ini disebabkan oleh vaksinasi.

Katanya,  jumlah kes harian tidak lagi memberi gambaran yang jelas terhadap kesan jangkitan kepada sistem penjagaan kesihatan negara sebaliknya gambaran

alternatif yang lebih baik, adalah melalui jumlah kes dalam Kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan akan memfokuskan laporan semasa kepada jumlah kes dalam Kategori 4 dan 5 serta kadar vaksinasi bagi kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya.

Kementerian bagaimanapun akan berkongsi trend pengesanan kes mingguan Covid-19 semasa Sidang Media mingguan.

Beliau juga memaklumkan, dianggarkan sekurang-kurangnya 300,000 ART dibuat setiap minggu namun jumlah keputusan ART yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth adalah jauh lebih rendah.

“Dalam pada itu, surveilan jangkitan Influenza-Like Illness (ILI) yang dilakukan berterusan oleh Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa pada masa yang sama, terdapat juga sedikit peningkatan kes-kes ILI sedang berlaku di negara ini dengan ujian makmal telah mengenal pasti virus daripada jenis Rhinovirus sebagai virus utama yang berlegar di dalam komuniti,” tegasnya..

Dalam usaha untuk mengawal penularan apa juga jangkitan ILI, orang ramai diingatkan untuk melakukan tanggungjawab sosial masing-masing, asingkan diri jika berasa kurang sihat dan berjumpa doktor jika simptom dirasakan lebih berat.

Related posts

Leave a Comment