Kos enam PRN dianggarkan RM420 juta

KUALA LUMPUR 15 Jun –  Kos bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dianggarkan sebanyak RM420 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman Said berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

Tuan Ibrahim meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos yang dijangka dibelanjakan PRN di enam negeri.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan memastikan kemudahan kerajaan tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk tujuan kempen PRN, Azalina berkata semua pihak hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang lain yang berkaitan pilihan raya.

Beliau berkata setiap kali penganjuran pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberi saranan kepada semua pihak supaya mengemukakan laporan kepada mana-mana jabatan/agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

“Ini bagi membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan/agensi tersebut,” katanya.

SPR turut memerlukan kerjasama yang menyeluruh dan menjadi tanggungjawab semua pihak serta pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan urusan kempen pilihan raya dilaksanakan secara lancar dan teratur.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tahap persiapan kerajaan memastikan kelancaran PRN, Azalina berkata SPR kini dalam fasa siap siaga bagi menghadapi dengan mengambil kira tempoh hayat DUN bagi enam negeri akan berakhir dalam masa terdekat.

Beliau berkata SPR telah membuat perancangan dan persediaan yang menyeluruh meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

SPR juga telah mengadakan sesi libat urus dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam membantu melancarkan lagi proses pilihan raya.

Katanya, SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan ke atas daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi.

Urusan Pengemaskinian Daerah Mengundi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958 manakala kewujudan pusat-pusat mengundi baharu ini bertujuan memudahkan pemilih untuk keluar mengundi.

Related posts

Leave a Comment