Jangan remeh makhluk kecil

BANDAR SERI BEGAWAN : Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengingatkan rakyat supaya mengambil iktibar ancaman makhluk kecil atau virus yang  mencetuskan penyakit berjangkit sehingga mengorbankan lebih empat juta orang.

“Kita jangan meremehkan makhluk-makhluk yang dilihat sebagai kecil dan lemah, tetapi di sisi Allah, ia boleh dikerah untuk menjadi tentera yang gagah bagi mengajar makhluk-makhluk yang kuat.

“Jadi di manakah kekuatan manusia berbanding dengan virus, makhluk yang sangat halus lagi lemah itu?,” titah baginda dalam titah perutusan sempena Tahun Baharu Hijrah 1443, di Istana Nurul Iman, semalam.

Baginda juga menarik perhatian sejarah Namrud, penguasa kejam dan gagah yang melontarkan Nabi Ibrahim as ke dalam api, akhirnya ditakdirkan mati disebabkan seekor nyamuk yang diutus oleh Allah sebagai tentera-Nya.

“Begitulah, jika Allah berkehendak, makhluk yang lemah boleh sahaja memusnahkan atau mengharu-birukan makhluk yang kuat dan gagah. Demikian antara iktibar yang boleh diambil daripada sejarah hijrah,” titah baginda lagi.

Melalui hijrah, titah baginda pelbagai iktibar atau pengajaran dapat dikenal pasti, seperti bagaimana Allah memberikan pertolongan yang luar biasa kepada Nabi Muhammad SAW dengan menghantar makhluk yang lemah, iaitu labah-labah, burung merpati dan pohon kayu sebagai bala tentera-Nya bagi melindungi Nabi.

Tegas baginda, Allah SWT tidak menghantar singa atau gajah untuk memusnahkan musuh, tetapi hanya menghantar labah-labah dan burung merpati, makhluk yang sangat lemah untuk mengelirukan musuh, sekali gus menggagalkan niat jahat mereka.

Menurut baginda lagi, Allah dengan kuasa-Nya mampu melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya, termasuk menggagalkan semua usaha dan rancangan musuh untuk menangkap dan membunuh nabi dan rasul-Nya, Muhammad SAW.

“Tidak syak lagi adalah satu ‘iktibar tertinggi’, betapa Allah dengan kuasa-Nya mampu untuk melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya, termasuk menggagalkan semua usaha dan rancangan musuh untuk menangkap dan membunuh nabi dan rasul-Nya, Saiyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam,” titah baginda.

Dengan benar-benar menghayati rahsia atau hikmah pengajaran seperti ini, jelas baginda, nescaya akan datanglah keinsafan, bahawa tiada satu kuasa pun yang dapat mengatasi kuasa Allah.

Related posts

Leave a Comment