Najib terus tarik perhatian hari akhir PAU

KUALA LUMPUR 10 Jun – Kisah mantan Perdana Menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara di Kajang terus mendapat perhatian pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 hari ini.

Semasa sesi penggulungan, Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail menyentuh ‘kehidupan’ bekas Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkongsi kisah pertemuannya dengan Najib di penjara Kajang, tetapi enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau juga sempat bersarapan pagi dan membawa semua makanan kegemaran bekas Presiden UMNO itu.

Katanya, Najib kini meneruskan pengajian pasca siswazah di peringkat kelulusan doktor falsafah (PhD) di penjara.

“Apabila saya pergi, saya ditemani Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan selepas 30 minit saya dibenarkan bersama Najib untuk pertemuan empat mata.

“Namun, apa yang saya bincangkan tidak perlulah saya nyatakan di sini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun pemimpin itu kini menjalani hukuman penjara,
semangat Najib tetap dibawa ke Dewan Merdeka dengan kehadirannya diganti tiga sosok warisnya.

Mereka adalah Datuk Seri Nizar yang menjadi perwakilan selaku Naib Ketua Bahagian Pekan, adiknya, Datuk Nazifudin, yang juga Ketua Bahagian Langkawi, dan anak perempuannya, Nooryana Najwa kini Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang ketika menggulung perbahasan menyingkap kembali kesungguhan Ahmad Zahid memperjuangkan keadilan untuk Najib di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Ketika itu, saya berasa amat terharu, sedih dan pilu. Malah, jelas ramai di kalangan para perwakilan yang menitiskan air mata, terkesan raga dan jiwa, marindui aura kepimpinan Dato’ Sr Mohd Najib Tun Abdul Razak, biarpun beliau berada nun jauh di sana, di sebalik tembok besi.

“Jujur dan ikhlas saya katakan. Ketika satu Malaysia menzahirkan rindu kepada Datuk Seri Najib; kami dari Pahang, 1,000 kali lebih rindu kepada sosok tubuh yang cukup berjasa ini,” katanya.

Beliau berkata, suatu ketika, mereka di Pahang, laksana patah perahu, kemudi hanyut kerana sosok tubuh itulah yang selama ini, sentiasa menjadi sumber kekuatan, sumber inspirasi dan menjadi sumber pencetus semangat buat.

“Kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak…. percaya dan yakinlah, bahawa kami sentiasa bersama Datuk Seri.

“Tatkala Datuk Seri Berteleku Di Balik Tirai Besi ; Tatkala Datuk Seri Dibelenggu Sunyi Dan Sepi; Tatkala Datuk Seri Keseorangan Tanpa Sesiapa Di Sisi…; Kami Di Sini Sentiasa Mengingati; Membicara, Merindui Dan Menginsafi; Berdoa Tanpa Henti Memohon Ke Hadrat Ilahi; Agar Tertegaknya Kesaksamaan Buat Datuk Seri; Dikurnia Keadilan yang Tiada Terperi; Bersemi Hikmah dan Kebenaran yang Hakiki; Agar Nama Baik Datuk Seri Tiada Tercemar Lagi… insya Allah!”

Sementara itu, di luar Dewan Merdeka, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh, berharap solidariti yang ditunjukkan perwakilan pada PAU 2023 berhubung keadilan terhadap Najib, diambil perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu perlu mendapat keadilan sebenar-benarnya seperti yang diharapkan sebahagian besar rakyat di negara ini.

“Saya yakin keseluruhan perwakilan yang hadir termasuk pemerhati meletakkan harapan yang tinggi kerana kita semua sayang kepada Datuk Seri Najib, apatah lagi saya pernah berkhidmat dengan beliau selama 10 tahun.

“Saya kenal hati budi dia dan beliau adalah seorang insan yang mempunyai niat suci dalam membangunkan Malaysia, sekali gus dapat memberikan rakyat hidup dalam keadaan selesa,” katanya selepas melawat Laman Media.

Related posts

Leave a Comment