Hampir 20,000 kes, 201 kematian

PUTRAJAYA 10 Ogos – Jumlah kes jangkitan Covid-19 hari ini menghampiri 20,000 kes apabila 19,991 kes direkodkan dengan jumlah kematian pula 201 orang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,299,767 kes dan jumlah kematian pula setakat ini sebanyak

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes baharu hari ini adalah  penularan tempatan.

Selain itu, 1,096 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 570 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 230,762 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Mengenai kes baharu hari ini, beliau berkata, 98.1 peratus atau 19,606 kes yang dikesan berada dalam kategori satu dan dua, iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan.

Hanya 1.9 peratus bersamaan 385 kes hari ini berada dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen, kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, keadaan kes yang dinyatakan itu ketika mereka baru didiagnos dan ada diantaranya kekal berada dalam kategori itu mahupun berubah status kesihatan, sama ada lebih teruk atau bertambah baik.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 4,632 kes atau 23.2 peratus daripada jumlah kes yang dikesan hari ini mempunyai sejarah vaksinasi iaitu 1,313 kes dalam kategori satu, 3,201 kes (kategori dua), 79 kes (kategori tiga), 33 kes (kategori empat) dan enam kes (kategori lima),” katanya.

Mengenai 201 kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 87 kes dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (37), Johor (20), Perak (14), Sabah (12), Pulau Pinang (10), Melaka (lapan), Negeri Sembilan (lima), masing-masing tiga di Kedah dan Sarawak dan dua kes di Terengganu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 29 kluster baharu yang dikesan iaitu 17 dikesan di tempat kerja, komuniti (lapan), kumpulan berisiko (tiga) dan keagamaan (satu).

Katanya, kluster baharu sudah menjangkiti 1,029 kes baharu, iaitu jumlah tertinggi dilaporkan dalam kluster tempat kerja iaitu 703 kes, komuniti dengan 212 kes, kumpulan berisiko (90 kes) dan keagamaan (24 kes).

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 16,258 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 1,057,843 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Related posts

Leave a Comment