$100 jika gagal pakai pelitup muka

BANDAR SERI BEGAWAN – Kegagalan orang ramai mematuhi arahan pemakaian pelitup muka, mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan boleh dikenakan kompaun BND100, di bawah Bab 62(A) Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Bagaimanapun pemakaian itu tidak diwajibkan jika individu tersebut berada di dalam kenderaan berseorangan atau bersama ahli keluarga yang tinggal serumah.

Bagi mereka yang berada di dalam kenderaan bersama orang lain, seperti menaiki perkhidmatan teksi (DART) dimestikan memakai pelitup muka bagi kedua-dua pemandu dan penumpang.

Peraturan tersebut antara langkah pengawalan dan sekatan yang dikenakan serta merta  berikutan peningkatan kes jangkitan harian sejak 8 Ogos lalu yang merekodkan 17 kes selepas lebih setahun tidak merekodkan kes tempatan.

Semalam 42 kes dilaporkan termasuk empat kes import.

Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah mengesan kontak kes dikesan sebelum ini dan menasihatkan orang ramai yang mempunyai tanda-tanda jangkitan, khususnya mereka yang berkemungkinan terdedah kepada mana-mana kluster untuk segera mendapatkan rawatan dan melakukan ujian SARS-CoV-2 .

Bagi memperbaiki kaedah pengesanan kontak, Kementerian Kesihatan memperkenalkan sistem notifikasi melalui pesanan ringkas melalui aplikasi BruHealth kepada sesiapa yang mungkin terdedah kepada mana-mana kes Covid-19 yang baru disahkan.

Mereka yang menerima pesanan ringkas dikehendaki untuk segera pergi ke mana-mana pusat ‘swabbing’ berdekatan untuk menjalankan ujian.

Orang ramai yang jarang menggunakan aplikasi BruHealth diminta untuk mengaktifkan aplikasi tersebut dan mengimbas Kod QR setiap kali masuk dan keluar dari mana-mana premis, di samping mengaktifkan fungsi Bluetooth semasa berada di tempat-tempat awam.

Related posts

Leave a Comment