PICK beri lebih 25 juta dos

PUTRAJAYA 10 Ogos – Lebih 25 juta dos vaksin diberikan kepada penduduk dewasa di seluruh negara sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari lalu, kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Beliau berkata sejumlah 465,793 dos diberikan di seluruh negara semalam, merangkumi 187,495 dos pertama dan 278,298 dos kedua.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 25,008,230 dos, meliputi lebih 15.9 juta atau 68.2 peratus orang dewasa di negara ini menerima dos pertama, dan 9.04 juta atau 38.7 peratus menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

“Jumlah individu yang sudah menerima dos pertama ialah 15,959,596 orang, dan daripada jumlah itu, 9,048,634 orang sudah menerima dos kedua,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan jumlah penduduk dewasa yang menerima dos lengkap vaksin kekal didahului oleh Labuan dengan 86.6 peratus atau 59,341 individu, disusuli Sarawak (75.3 peratus/1.78 juta).

Selain itu, dua negeri mencatatkan lebih 50 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap vaksin, iaitu Lembah Klang (53.7 peratus/3.31 juta) dan Negeri Sembilan (53.5 peratus/435,910), selain Perlis yang mencatat 49.3 peratus atau 89,255 penduduk.

Data Lembah Klang merangkumi jumlah keseluruhan penerima vaksin dan penduduk bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sabah pula menjadi negeri paling rendah merekodkan penerima dos lengkap vaksin dalam kalangan penduduk dewasa dan satu-satunya mencatat bawah 20 peratus, dengan hanya 17.6 peratus atau 485,880 penduduk.

Related posts

Leave a Comment