40,000 kes sehari di Iran

TEHERAN: Dalam tempoh 24 jam, Iran yang kini berada pada tahap kritikal melaporkan 40,808 kes jangkitan Covid-19 dengan 588 kematian baharu direkodkan pada Isnin.

Malahan stesen televisyen kerajaan mendakwa kematian akibat Covid-19 berlaku setiap dua minit ketika berhadapan gelombang kelima akibat varian Delta.

Perangkaan terakhir menunjukkan sebanyak 4,199,537 kes dilaporkan sejak pandemik bermula dengan jumlah kematian 94,603 orang.

Media melaporkan, beberapa fasiliti hospital kini mencapai kapasiti penggunaan maksimum, tiada lagi katil untuk pesakit baharu.

Pihak berkuasa mengaitkan situasi ini dengan kegagalan rakyat mengamalkan penjarakan fizikal manakala rakyat pula mendakwa kadar vaksinasi perlahan menyebabkan situasi semakin buruk.

Lebih 13 juta rakyat telah mendapat vaksin tetapi hanya 3.7 juta atau  4 peratus daripada 83 juta penduduk telah divaksinasi sepenuhnya.

Beberapa wilayah di Iran juga bertukar daripada tahap jingga kepada tahap merah.

Pada Januari, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei melarang import vaksin buatan Amerika Syarikat (AS) dan Britain kerana mendakwa ia tidak boleh dipercayai dan boleh menyebarkan jangkitan.

Iran telah menyalahkan sekatan ekonomi oleh AS sebagai punca program vaksinasinya bergerak perlahan.

Related posts

Leave a Comment