Johnson tarik diri saingan ke Downing Street

LONDON: Bekas Perdana Menteri, Boris Johnson menarik diri daripada pertandingan untuk kembali menjadi Perdana Menteri Britain, walaupun mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun beliau memperoleh sokongan lebih rendah daripada jumlah diperoleh bekas Menteri Kewangan dan calon yang tewas pada pemilihan lalu, Rishi Sunak.

Johnson ketika menyatakan pendirian untuk menarik diri berkata pentadbiran yang berkesan adalah apabila pemimpin mempunyai parti yang bersatu padu di Parlimen.

Dalam kenyataannya, beliau mengakui terdapat peluang yang sangat baik bahawa beliau akan berjaya dalam pemilihan dengan ahli Parti Konservatif dan sememangnya boleh kembali semula ke Downing Street.

“Namun, akhirnya saya terpaksa buat keputusan bahawa ini bukanlah perkara yang betul untuk dilakukan. Anda tidak boleh mentadbir dengan berkesan melainkan anda mempunyai parti yang bersatu padu di Parlimen.” ,” kata Johnson.

Johnson memerlukan sokongan 100 Ahli Parlimen untuk meneruskan ke peringkat seterusnya, yang akan menyaksikan dia berdepan menentang Sunak dalam undian oleh 170,000 ahli Parti Konservatif.

Sunak, yang meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan pada Julai lalu, membantu mempercepatkan kejatuhan Johnson, sudah mendapatkan 142 sokongan.

Beliau akan dinamakan ketua Parti Konservatif sekali gus menjadi Perdana Menteri melainkan calon Penny Mordaunt mencapai sokongan melebih 100 Ahli Parlimen.

Related posts

Leave a Comment