Jangan salah guna kelonggaran

PUTRAJAYA 9 Ogos – Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 akan memantau sebarang kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi digital, berikutan pemberian kemudahan tertentu kepada golongan yang lengkap imunisasi.

Menteri Kanan Luar Negeri,  Hishammuddin Hussein, berkata jawatankuasa itu yang diketuai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, bagaimanapun tidak akan dapat memantau semua kes berkenaan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan perlu bekerjasama memastikan isu itu dapat ditangani secara menyeluruh.

“Tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian perlu dibawa ke muka pengadilan. Saya juga berharap orang ramai bekerjasama memaklumkan kepada kerajaan jika wujud kes sebegitu,” katanya pada sidang media secara maya.

Hishammuddin berkata, rakyat perlu bersikap telus, bertanggungjawab dan berdisiplin bagi memastikan kemudahan diberi itu tidak disalahgunakan.

“Pemberian kemudahan berkenaan datang daripada permintaan orang ramai. Mereka menyatakan apa guna (mengambil) vaksin kalau masih ada sekatan pergerakan.

“Kerajaan dikatakan tiada belas kasihan kepada suami isteri yang tinggal berjauhan dan ibu bapa tidak dapat berjumpa dengan anak selama berbulan-bulan.

“Kita tahu perkara itu (pemberian kemudahan) ada risiko, mungkin kes Covid-19 akan bertambah. Pada peringkat awal kelonggaran diberikan ini, sama ada ia berjaya atau tidak, bergantung pada orang ramai, kementerian dan agensi dipertanggungjawabkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment